WELCOME TO MY BLOG
SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA

Tuesday, 14 January 2014

Monday, 15 July 2013

UNDANG-UNDANG : PENGUATKUASAAN AKTA PERKHIDMATAN BOMBA 1988 (AKTA 341) DAN MASYARAKAT :

Undang-undang diperlukan dalam pentadbiran sesebuah kerajaan. Antara tujuan undang-undang ialah sebagai kawalan dan garis panduan untuk menjaga kepentingan Negara dan masyarakat itu sendiri secara keseluruhan. Realitinya banyak Statut yang sedang berkuatkuasa namun sesetengahnya mungkin tidak diketahui oleh segelintir masyarakat kerana ia tidak berkaitan secara langsung dengan mereka. Sebagai contoh, undang-undang berkaitan jalanraya umumnya diketahui masyarakat kerana ia banyak berkaitan secara langsung terhadap mereka. Misalnya, umum mengetahui bahawa memandu tanpa Lesen adalah merupakan suatu kesalahan.

Namun terdapat juga undang-undang yang tidak lazim diketahui oleh orang awam seperti kesalahan-kesalahan di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988. Ini mungkin tidak diketahui umum kerana kebiasaannya hanya golongan tertentu yang berkaitan langsung dengan peruntukan akta ini yang banyak bergantung kepada Statut lain seperti Undang-Undang bangunan Kecil Bangunan Seragam 1984 (atau Sarawak Building Ordinan, mengikut mana ia terpakai). Bagi memperhalusi pemahaman dan aplikasinya, rujukan juga perlu dibuat terhadap Piawaian-Piwaian tertentu yang berkaitan.       

Antara golongan yang seharusnya mengetahui dan memahami dengan mendalam tentang perkara ini ialah Pegawai Bomba, Jurutera-Jurutera Perunding, Arkitek Pihak Berkuasa Tempatan, Pegawai Keselamatan Kebakaran, Pegawai keselamatan dan Kesihatan, Pemilik/Pengurus Bangunan berisiko, Juruteknik Bangunan, dan Orang awam yang sentiasa peka khususnya isu Keselamatan Kebakaran.

Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (APB 1988) berkuatkuasa selepas disiarkan dalam warta pada 9 Jun 1988. Ia adalah suatu akta untuk membuat peruntukan perlu untuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berfungsi dengan berkesan dan cekap, untuk melindungi manusia dan harta benda daripada risiko kebakaran dan untuk tujuan yang berkaitan dengannya.

APB 1988 mengandungi sebanyak 9 Bahagian dan 63 Seksyen (terdapat beberapa seksyen pindaan-tambahan). Di bawah Seksyen 62 Akta ini juga memperuntukkan kuasa kepada Menteri untuk membuat peraturan-peraturan. Selain itu Seksyen 27 (1) memberikan kuasa kepada Ketua Pengarah dalam hal penetapan premis tertentu.  Ia juga mengandungi dua Jadual iaitu Jadual Pertama yang mengandungi Borang-Borang iaitu Borang A (Notis Menghapuskan Bahaya Kebakaran), Borang B (Notis Menghapuskan Bahaya Kebakaran Seterusnya), Borang C (Notis Untuk Memberi Sebab), Borang D(perintah Tutup), Borang E (Notis Untuk Memberi Sebab di bawah Seksyen 35(2) APB 1988) dan Borang F (Perintah Larangan). Seterusnya jadual Kedua menetapkan pangkat-pangkat dalam JBPM di bawah seksyen 3(6) APB 1988.

Antara Perundangan Subsidiari yang telah digubal di bawah S62 dan Seksyen 27(1)APB 1988 ialah:

1. Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Bomba 1988 (FI Pusat Latihan Bomba) 1996 
2. Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Bomba (Kumpulan Wang Kebajikan JPB) 1997
3. Perintah perkhidmatan Bomba (Premis Ditetapkan) 1998
4. Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Bomba (Pengkompaunan Kesalahan) 2000
5. Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Bomba (Perakuan Bomba) 2001; dan
6. Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Bomba (Tatasusila Pegawai Bomba) 2003   

Apakah kesalahan-kesalahan yang menyalahi Akta Perkhidmatan Bomba dan Undang-undang Subsidiarinya?

Seksyen 58 APB 1988 menyatakan bahawa;

" Mana-mana orang yang melakukan suatu kesalahan di bawah Akta ini yang tiada penalti diperuntukan dengan nyata baginya boleh apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya"

Terdapat beberapa peruntukan yang memperuntukkan kesalahan di bawah APB 1988 namun terdapat 2 kesalahan lazim yang dilakukan iaitu Kesalahan dibawah S10 iaitu tidak mematuhi notis penghapusan bahaya kebakaran dan S33 iaitu kesalahan kerana tiada perakuan bomba berkuatkuasa berhubung dengan premis ditetapkan.


Oleh itu, anda perlu mengetahui bahawa samada Premis anda adalah premis ditetapkan? KENAPA?
Pemunya "Premis Ditetapkan" dikehendaki agar mempunyai Perakuan Bomba menurut  S28(1) APB 1988 dan Jika tiada Perakuan Bomba, anda melanggar S33 APB 1988.

Tahukah anda? terdapat beberapa situasi bila mana Pemunya Premis boleh ditafsirkan tidak mempunyai Perakuan Bomba berkuatkuasa iaitu:

Situasi 1 : Pemunya Premis tidak memohon samada menerima atau tidak surat peringatan daripada JBPM (Surat peringatan adalah peringatan mesra Jabatan, dan bukan prosedur wajib menurut undang-undang kerana obligasi terletak di bahu Pemunya Premis)

Situasi 2 : Walaupun pemohon ada memohon namun dokumen tidak lengkap dan pemohon tidak meneruskan untuk menghantar bagi melengkapkan permohonan itu apabila diminta.

Situasi 3 : Walaupun permohonan lengkap telah dibuat dan pemeriksaan telah dibuat namun Pemunya Premis tidak mematuhi notis yang menghendaki Pemunya Premis membuat apa-apa keperluan menurut undang-undang yang telah dikenalpasti oleh pegawai semasa pemeriksaan.   



Bagaimana anda mengetahuinya?? Adakah premis anda tergolong dalam rekabentuk seperti di bawah??
Rujuk Jadual Perintah Perkhidmatan Bomba (Premis Ditetapkan) 1988
  1. Perpustakaan dengan lebih daripada 1000 meter persegi luas lantai.
  2. Hospital dan rumah rawatan; samada 3 tingkat dan lebih dimana setiap kawasan lantai melebihi 250 meter persegi; 5 tingkat dan lebih.
  3. Hotel Rekabentuk langkan terbuka: 4 tingkat dan lebih 50 bilik; 6 tingkat lebih. Bagi rekabentuk lain; 21 bilik dan lebih.
  4. Asrama dan dormitori: 4 tingkat dan lebih dimana setiap kawasan lantai melebihi 250 meter persegi; 6 tingkat dan lebih. 
  5. Pejabat: ketinggian melebihi 30 meter ATAU 10,000 meter persegi keluasan jumlah lantai.
  6. Kedai : 2001 meter persegi jumlah keluasan lantai.
  7. Kilang : Satu tingkat 2001 meter persegi dan terpasang Sistem Semburan Automatik; 2 tingkat di mana setiap lantai dibina sebagai ruang berasingan, pembinaan tunggal atau teres melebihi 1000 meter persegi jumlah keluasan lantai; 3 Tingkat dan lebih; Kilang bertingkat pembangunan blok pendekatan langkan terbuka 2 Tingkat dan lebih dimana setiap ruang melebihi 7000 meter padu; Struktur khas seperti kompleks kisar sawit, kilang penapis minyak, kerja simen dll; proses berbahaya.
  8. Tempat Perhimpunan: Bangunan tanpa 'Centralised Aircond' 2000 meter persegi dan lebih; Bangunan bukan 'Centralised Aircond' melebihi 1000 meter persegi Atau dengan muatan 1000 orang dan lebih.
  9. Storan dan Am: Struktur tempat letak kereta bawah tanah melebihi 1000 meter persegi; lebih daripada 7000 meter padu; 2 TIngkat dan lebih dengan lebih daripada 1000 meter persegi keluasan jumlah lantai.
[Sumber : PU(A) 276/1988]

Walaupun begitu mana-mana kesalahan yang termasuk dalam Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Bomba (Pengkompaunan Kesalahan) boleh diselesaikan secara pembayaran Kompaun.

Kesalahan-Kesalahan yang boleh dikompaun??

  1. S23(4)- Tidak memberikan notis kepada KPN sebelum menjalankan kerja-kerja yang menjejaskan Pili Bomba (Subseksyen 23(1)) atau Tidak menentukan pili bomba berada dalam keadaan baik selepas dijalankan kerja yang menjejaskan pili bomba (Subseksyen 23(2))
  2. S25(2)- Enggan membenarkan pemasangan plat pili bomba, Menghalang orang yang memasang plat pili bomba, mengalih atau mencatatkan plat pili bomba.
  3. S26 - Menutup, mengepun atau menyembunyikan pili bomba. menggangu pili bomba. menggunakan pili bomba selain dari tujuan menentang kebakaran,
  4. S47 - Tanpa kebenaran Pegawai Bomba, memasuki atau berada di dalam premis yang diambil milik oleh Ketua pengarah.
  5. S51 - Menggangu Pegawai Bomba semasa menjalankan tugasnya.
  6. S52 - tidak mematuhi arahan yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa.
  7. S55 - Merosakkan, menyembunyikan, mengaktifkan atau mendeaktifkan penggera kebakaran tanpa sebab yang munasabah.
  8. Selain itu terdapat 3 kesalahan yang boleh dikompaun di bawah Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Bomba (Perakuan Bomba) 2001 iaitu Peraturan 3(5), 5(3) dan 6(2).  

Apakah itu Bahaya Kebakaran??
Bahaya Kebakaran ditafsirkan di bawah Seksyen 2(a) sehingga S2(f) APB 1988.
Apakah Contoh-Contoh Bahaya Kebakaran di Premis ANDA??

Gambar di sebuah Pasaraya di Inanam Sabah. Hose Reel Drum telah dibuka. Ini merupakan satu Bahaya kebakaran mengikut tafsiran Seksyen 2 APB 1988

Kemaskini setakat 18 Julai 2013