WELCOME TO MY BLOG
SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA

Tuesday, 14 January 2014

ASAS UNDANG-UNDANG PEGAWAI PENGUATKUASA UNDANG-UNDANG JBPM


Asas Undang-Undang Pegawai  Penguatkuasa  Jabatan : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

Penulisan ini membincangkan secara asas pembelajaran dan kemahiran undang-undang yang perlu difahami dan diaplikasikan oleh seseorang Pegawai Penguatkuasa. Ia adalah pemakaian universal oleh mana-mana pegawai penguatkuasa selepas mempelajari mana-mana akta dan rujukan penting lain yang dikuatkuasakan oleh mana-mana agensi masing-masing. Penulisan ini juga mengandungi pandangan penulis tentang aplikasi dan pemakaian peruntukan undang-undang tertentu. Walaupun begitu dalam penulisan kali ini, aspek-aspek perundangan tersebut tidak akan diulas secara mendalam. Penekanan dalam penulisan ini adalah bersifat umum sebagai maklumat dan panduan para pembaca. Harapan penulis agar maklumat ini dapat memberikan input kepada warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) demi untuk memacu pembangunan kecemerlangan Jabatan.
Kita yakin bahawa mana-mana agensi yang menguatkuasakan undang-undang memerlukan pegawai-pegawai yang berkemahiran tinggi dalam aspek perundangan. Kemahiran yang tinggi ini amat diperlukan kerana setiap tindakan penguatkuasaan  akan membawa kesan perundangan.

Dalam konteks JBPM, seseorang pegawai yang menjalankan tugas penguatkuasaan seharusnya mempunyai sekurang-kurangnya ilmu asas yang bersifat mandatori iaitu ilmu mendalam tentang Akta yang dikuatkuasakan iaitu Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (APB 1988), Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984, Piawaian-Piawaian dan arahan-arahan jabatan yang berkaitan. Walau bagaimanapun ia masih belum memadai kerana terdapat pengetahuan yang sangat diperlukan untuk dikuasai sebagai pelengkap kepada ilmu seorang pegawai Penguatkuasa.
Adalah ditegaskan bahawa, ilmu asas ini sangat penting untuk dikuasai. Misalnya, jika seseorang mengabaikan aspek penting dalam penguatkuasaan bangunan, walaupun perlanggaran atau ketidakpatuhan dari pihak penghuni mahupun pemunya bangunan mungkin berlaku namun proses selanjutnya untuk menjalankan apa-apa juga tindakan menurut peruntukan akta seperti pendakwaan mungkin tidak dapat diteruskan kerana kesilapan-kesilapan disebabkan kurangnya ilmu perundangan pegawai bertanggungjawab.   Jika kelemahan seperti ini berlaku, bukankah keadaan ini memberi kesan negatif kepada kelancaran proses kerja yang seterusnya menyebabkan kerugian dari segi kos dan tenaga pekerja?
Apakah ilmu perundangan yang menjadi pelengkap kepada pengetahuan seorang pegawai penguatkuasa yang kompeten?
Sebagai pegawai penguatkuasa undang-undang, terdapat beberapa ilmu pelengkap yang perlu diterapkan dalam diri masing-masing. Sekurang-kurangnya perkara asas yang patut diketahui ialah mengenai Sistem perundangan di Malaysia, Undang-undang Pentadbiran, Asas Undang-Undang Jenayah, Undang-Undang Keterangan dan Prosedur Jenayah. Subjek-subjek ini akan diterangkan secara am sahaja dalam penulisan ini.

Terlebih dahulu, sebelum kita mempelajari Undang-Undang dengan lebih mendalam, konsep undang-undang itu perlu dihayati dengan mengutarakan persoalan berikut:

Apa itu undang-undang ? Beberapa tokoh memberikan pandangannya…

Menurut Seorang Ahli Juris, John Austin (1790 -1859)

“Undang-Undang adalah satu perintah dari badan berkuasa dalam masyarakat. Perintah ini disertai hukuman”

Ini bermakna bahawa Undang-Undang itu sebagai satu perintah dari pihak pemerintah buat rakyat dan ianya dikuatkuasakan melalui hukuman.

·         Pandangan penulis ialah Undang-Undang tidak semestinya datang dari pemerintah seperti kontrak 2 pihak walaupun penguatkuasaan adalah daripada sistem mahkamah pemerintah.

·         Seterusnya Undang-undang tidak semestinya mempunyai hukuman seperti undang-undang perwarisan yang bukan mengenakan hukuman tetapi mewujudkan hak.

·         Dalam konteks sebuah Negara, undang-undang juga bukan sahaja dibuat oleh pemerintah terhadap orang yang diperintah malahan pemerintah juga tertakluk kepada undang-undang seperti Perlembagaan sesebuah Negara.

Manakala menurut John Salmond (1862 – 1924)
“Undang-Undang dianggap satu badan yang mengandungi prinsip-prinsip yang diperakui dan diterimapakai oleh sesebuah negara dalam pentadbiran keadilannya. Matlamat Undang-Undang adalah untuk menjamin keadilan”

          Ini bermakna undang-undang adalah peraturan yang diperaku dan dikuatkuasakan oleh mahkamah.

Sementara itu dari perspektif Islam menurut Profesor Dr. Hashim Kamali:
Syariah, merujuk kepada perintah, larangan, pedoman dan prinsip-prinsip hukum yang telah diturunkan Allah untuk manusia mengenai tingkahlaku mereka di dunia dan juga di akhirat.

Undang-Undang ini bersifat lengkap dan tidak berubah mengikut masa dan keadaan.
Untuk apakah Undang-Undang atau Apakah fungsi Undang-Undang?

Walauapapun pandangan tentang apakah definidi undang-undang itu, nampaknya kita dapat melihat antara fungsi undang-undang seperti yang dinyatakan di bawah ini:

·         Garis panduan pada rakyat umum

·         Menjamin ketenteraman awam

·         Memberikan keadilan

·         Melindungi Hak Individu

·         Melaksanakan kedaulatan Undang-Undang

·         Mekanisma penyelesaian konflik.

·         Menghukum pesalah

·         Menjamin kemaslahatan umum

·         Agen perubahan


Kesimpulannya, undang-undang-undang merupakan set peraturan yang mengawal sesuatu masyarakat. Ia mempunyai fungsi antaranya yang dinyatakan di atas.

Sistem Perundangan di Malaysia
Dalam topik Sistem Perundangan di Malaysia, beberapa konsep penting harus difahami. Antara lainnya ialah Sejarah undang-undang di Malaysia, Sumber Undang-Undang, Klasifikasi Undang-Undang, Bidangkuasa Mahkamah-Mahkamah dan Prinsip-prinsip asas Undang-Undang seperti konsep Doktrin Duluan Mengikat (Stare Decisis).
Sebelum melangkah jauh dan bagi mengelakkan kekeliruan, mari kita melihat kepada klasifikasi Undang-Undang. Ia dibahagikan kepada dua kategori besar iaitu Undang-Undang Antarabangsa (mengenai hubungan diplomatic antara Negara-negara dan termasuklah peraturan perang) dan Undang- Undang Nasional (Undang-Undang yang beroperasi di dalam sesebuah negara yang berdaulat. Ia termasuk undang-undang di peringkat persekutuan,          negeri, daerah dan sebagainya)

Undang-Undang Nasional pula dibahagikan kepada Undang-Undang Persendirian (Private Law) dan Undang-Undang Awam (Public Law)

Undang-Undang Awam (Public Law) termasuklah Perlembagaan Negara kita yang menyatakan hak-hak seseorang dalam persekutuan. Selain itu ia juga termasuk Undang-Undang Jenayah yang mana memperuntukkan kesalahan terhadap persekutuan atau obligasi terhadap individu. Akta Perkhidmatan Bomba 1988 termasuk dalam kategori ini.

Sementara itu undang-undang persendirian merujuk kepada undang-undang antara individu dan individu. Contohnya dalam Undang-Undang Kontrak, Tort dan Amanah.

Sebagai panduan, jika seseorang itu melakukan kesalahan terhadap Negara, maka orang itu akan dituduh kerana melakukan kesalahan. Dalam merujuk kes ia mudah diketahui dengan merujuk kepada nama kes itu seperti :


PP v Ismail [1993] 2 MLJ 197

Merujuk kepada kes ini ia bermaksud Pendakwaraya (kerajaan) mendakwa Ismail yang melakukan kesalahan jenayah. Sementara itu, nombor 2 bermaksud Jilid ia dilaporkan, MLJ adalah pihak yang melaporkan iaitu Malayan Law Journal, [1993] bermaksud tahun dilaporkan dan 197 merujuk kepada halaman ke 197 dalam jilid tersebut.

Dalam kes sivil tiada Pegawai Pendakwaraya akan dinamakan dalam kes itu kerana ia bukan jenayah. Contohnya:

Rogers v Ismail [1993] 2 MLJ 197

Kes ini mungkin suatu tuntutan Rogers (Plaintif) menuntut sesuatu daripada Ismail. Perbezaan utama dalam pelaporan kes ialah dalam Jenayah seseorang didakwa dan setelah dibuktikan menurut tahap pembuktian melampaui keraguan munasabah akan disabitkan dan dihukum. Manakala dalam kes sivil seorang akan menuntut (plaintif) dan jika Berjaya menurut pembuktian imbangan kebarangkalian maka seseorang yang kalah tadi bukan dihukum tetapi diistilahkan bertanggungan terhadap plaintif di mana penghakiman memihak kepadanya.


Pembaca mungkin tertanya-tanya kenapa Undang-Undang Inggeris masih terpakai dalam sistem perundangan kita?

Mungkin pembaca tertanya-tanya kenapakah undang-undang Negara kita dikatakan mewarisi undang-undang Inggeris iaitu Common Law (ialah kumpulan undang-undang yang diperkembangkan oleh hakim-hakim inggeris daripada adat umum di England) dan Kaedah-kaedah Ekuiti.
Ringkasnya, menurut fakta sejarah, Inggeris telah menduduki Pulau Pinang pada 1786. Bagi melicinkan pentadbiran dan keadilan pada masa itu maka Piagam Keadilan Pertama (1807) dibentuk dan melaluinya Mahkamah Keadilan Pulau Pinang ditubuhkan. Sultan memperkenankan Undang-Undang Inggeris diterima pakai. Seterusnya  pemakaian dilanjutkan ke Melaka dan Singapura. Seterusnya diperluaskan ke negeri-negeri Melayu sehingga ia akhirnya dikanunkan.
Selepas kemerdekaan tanah Melayu pada 1957,  pemakaian Undang-Undang Inggeris terus  teguh. Peruntukan statut menjawab persoalan kenapakah pemakaian undang-undang Inggeris masih kekal hingga ke hari ini.
Ini kerana Seksyen 3 dan 5 Akta Undang-Undang Sivil 1956 membenarkan pemakaiannya dalam ketiadaan undang-undang tempatan mengenai perkara yang timbul tertakluk kepada masa dan sejauh mana keadaan tempatan membenarkannya. Demikian juga ia terpakai bagi Sabah dan Sarawak mengikut had masa yang dinyatakan dalam statut tersebut.
Ini bermaksud Dalam suatu persoalan undang-undang di mahkamah undang-undang inggeris boleh di hujahkan dan hakim akan menimbangkan samada untuk menerima nas undang-undang yang cuba dikemukakan oleh pihak-pihak bergantung kepada syarat dalam peruntukan statut yang membenarkannya.

Sumber Undang-Undang

Secara amnya, sumber undang-undang di Malaysia dibahagikan kepada undang-undang bertulis dan tidak bertulis. Undang-undang bertulis ialah undang-undang yang khusus dikanunkan menjadi suatu undang-undang seperti Perlembagaan (Persekutuan/Negeri), undang-undang yang digubal di Parlimen/Dewan Undangan Negeri iaitu samada Akta, Ordinan atau Enakmen dan Perundangan Subsidiari Subsidiari.

Manakala sumber seperti undang-undang tidak bertulis tidak bermaksud ia tidak dicatatkan. Ia dituliskan namun tidak dijadikan sebagai satu dokumen tersendiri seperti undang-undang bertulis. Antara contoh undang-undang tidak bertulis ialah Common Law & Ekuiti Inggeris, Keputusan Kehakiman (Case Law), Undang-undang adat dan Undang-Undang Adat Melayu, Cina & Hindu dan Undang-Undang Islam.
PERLEMBAGAAN SEBAGAI UNDANG-UNDANG TERTINGGI DI MALAYSIA
Pembaca mungkin tertanya-tanya apakah undang-undang yang tertinggi di negara ini? Perlembagaan Persekutuan Malaysia (PP) adalah undang-undang yang tertinggi di Malaysia. Ini termaktub di bawah Artikel 4(1) PP yang berbunyi:
“Perlembagaan ini adalah Undang-Undang Utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas hari merdeka yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah batal setakat yang berlawanan itu”
Ketertinggian perlembagaan di sahkan oleh mahkamah dalam kes Nordin Bin Salleh & Anor V Dewan Undangan Negeri Kelantan & Ors [1992] 1 MLJ 34
Pandangan penulis ialah dalam konteks Akta Perkhidmatan Bomba (APB) 1988 terdapat persoalan tentang samada Seksyen 44 APB 1988 terpakai atau tidak memandangkan nampaknya ia bercanggah dengan Artikel 135 (2) PP.
Seksyen 44 APB 1988 adalah berkaitan Perjalanan Pendakwaan yang berbunyi :
Mana-mana Pegawai Diberi Kuasa adalah berkuasa untuk hadir di mahkamah dan menjalankan apa-apa pendakwaan berkenaan dengan apa-apa kesalahan di bawah akta ini.”
Nampaknya peruntukan ini boleh dimaksudkan bahawa hanya dengan surat pemberian Kuasa daripada Ketua Pengarah adalah memadai sebagai kuasa untuk hadir menjalankan pendakwaan di mahkamah. Jika ia ditafsirkan sedemikian maka ia tidak operatif kerana ia akan bercanggah dengan Perlembagaan yang menyatakan bahawa hanya peguam Negara yang mempunyai kuasa Pendakwaan. Menurut Artikel 145(3) PP kuasa untuk memulakan, menjalankan dan menghentikan pendakwaan adalah atas kuasa Peguam Negara. Ini bermaksud oleh kerana Ketua pengarah Perkhidmatan Bomba tiada Kuasa Pendakwaan maka tiada kuasa yang boleh diberikannya kepada mana-mana pegawai Bomba untuk menjalankan Pendakwaan.
Namun demikian adalah tidak praktikal dalam sesebuah Negara jika hanya Peguam Negara satu-satunya orang yang boleh menjalankan kuasa ini. Oleh yang demikian, bagi menjalankan kuasa ini ia diperuntukkan di bawah S377 Kanun Prosedur Jenayah. Merujuk kepada S377(b)(3) KPJ Pegawai mana-mana Jabatan Kerajaan boleh diberikan kuasa secara bertulis untuk menjalankan Pendakwaan tertakluk kepada kawalan dan arahan Pendakwaraya.
Apakah itu Perundangan Subsidiari atau Undang-Undang Perwakilan??

Perundangan subsidiari adalah undang-undang yang dibuat oleh pihak berkuasa di bawah kuasa-kuasa yang diberikan kepadanya oleh statut induk.
“ Perundangan subsidiari bererti apa-apa perisytiharan, kaedah, peraturan, pemberitahuan, undang-undang kecil atau suratcara lain yang dibuat di bawah mana-mana Akta, Enakmen, Ordinan atau kuasa sah yang lain dan mempunyai kesan perundangan”
[S3 Akta tafsiran 1948 dan 1967(Disatukan dan disemak-1989)(Akta 388)]
Ini boleh dilihat dibawah Seksyen 62 APB 988 yang memberikan kuasa kepada menteri untuk membuat peraturan-peraturan tertentu mengikut peruntukan yang membenarkannya.

Pernahkan anda kamu mengetahui, diantara sumber undang-undang itu tadi bagaimanakah hirarkinya mengikut keutamaan??
Secara prinsipnya, Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi Negara. Oleh itu mana-mana peruntukan statut yang bercanggah adalah terbatal setakat percangahan itu. Jika satu percangahan suatu akta bercanggah dengan Perlembagaan maka peruntukan akta itu dikatakan batal dan tidak sah kerana Ultra Vires dengan perlembagaan. Seterusnya jika terdapat peraturan yang digubal menurut kuasa yang diberikan satu akta, ia akan batal dan tidak sah jika ultra vires dengan samada Perlembagaan atau Akta.

Bagaimana pula dengan Piawaian dan Perintah Tetap Jabatan?

Amnya ia tidaklah termasuk dalam sumber undang-undang yang sebutkan tadi namun dokumen-dokumen ini penting sebagai panduan dan pelengkap dalam menentukan sesuatu keputusan bergantung kepada budibicara mahkamah tentang kebolehterimaannya.
Sumber Undang-Undang : Undang-Undang Kes (Case Law) adalah Undang-Undang yang “dibuat” oleh hakim………adakah para Hakim boleh membuat Undang-Undang?
Dalam teori pengasingan kuasa, setiap Badan iaitu  Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman mempunyai fungsi masing-masing. Secara teori juga, hanya Badan Perundangan yang sepatutnya menggubal undang-undang manakala mahkamah mentafsirkannya. Konsep ‘Check and Balance’ tidak akan dibincangkan di sini.
Secara praktisnya, Badan Eksekutif terpaksa membuat peraturan yang dikenali sebagai undang-undang perwakilan/subsidiari seperti yang dinyatakan sebelum ini. Ini penting kerana beberapa sebab yang munasabah seperti perundangan subsidiari yang dibuat tentang sesuatu yang teknikal dan mendesak. Parlimen memakan masa yang lama untuk meluluskan sedangkan dalam hal tertentu ia mungkin sesuatu yang mendesak atau dalam kes yang sangat teknikal jika dibahas di parlimen sekalipun Ahli Dewan mungkin tiada kepakaran dalam aspek teknikal tersebut.
Seterusnya bagaimana pula Hakim dikatakan membuat undang-undang? Dalam memutuskan sesuatu kes, hakim akan menilai fakta material dan akan memutuskan sesuatu kes itu berdasarkan prinsip undang-undang dan pandangan kehakimannya. Sesuatu kes itu akan diputuskan berdasarkan penaakulannya yang akan membawa kepada keputusan tersebut. Dalam istilah undang-undang ia dikenali sebagai Ratio Decidendi yang akan menjadi tauladan kehakiman dan sepatutnya diikuti oleh mahkamah-mahkamah bawahan dalam hirarkinya atau mahkamah itu sendiri dalam kes akan datang yang mempunyai fakta material yang sama. Ia dilaporkan dalam bentuk laporan undang-undang. Sumber ini penting sebagai sebahagian sumber undang-undang.

Adakah kamu tahu had dan bidang kuasa mahkamah?

Seorang Pegawai Penguatkuasa hendaklah mengetahui bidang kuasa mahkamah. Setiap mahkamah mempunyai bidang kuasanya menurut undang-undang.
Mahkamah di Malaysia dibahagikan kepada mahkamah Bawahan dan Atasan. Mahkamah bawahan terdiri daripada Mahkamah Sesyen dan Majistret. Manakala Mahkamah Atasan yang terdiri daripada Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Kesalahan di bawah APB 1988 dibicarakan di mahkamah majistret berdasarkan peruntukan S85 dan S87 Akta Mahkamah Rendah 1948.   
Pernahkah kamu mengetahui apakah Doktrin Duluan Mengikat atau Doktrin Stare Decisis ??

Definisi :
          Doktrin duluan mengikat bererti bahawa di mana fakta-fakta material adalah sama, mahkamah hendaklah mengikut keputusan-keputusan terdahulu mahkamah yang lebih tinggi, dan (seseparuh mahkamah) keputusan-keputusannya sendiri yang terdahulu dan keputusan-keputusan mahkamah yang setaraf – samada masa kini atau lampau – Jika ada, asalkan mahkamah-mahkamah terletak dalam hirarki atau susunan yang sama
* Hanya ratio decidendi kes yang mengikat kemudian dan bukan obiter dictum
Dalam erti kata lain, Doktrin ini bermaksud, apabila memutuskan sesuatu kes, mahkamah adalah terikat untuk memutuskannya dengan merujuk kepada keputusan kes terdahulu yang diputuskan oleh mahkamah yang lebih tinggi daripada mahkamah dalam hirarki yang sama ataupun keputusannya sendiri yang terdahulu.
Doktrin ini diwarisi dari undang-undang Inggeris. Antara rasional prinsip ini ialah ia akan mewujudkan keadilan iaitu keputusan yang mempunya fakta material yang sama akan diberikan penghakiman yang sama seperti yang terdahulu. Selain itu ia juga memberikan kepastian undang-undang kerana melalui prinsip ini, pengamal undang-undang dan orang ramai akan tahu kecenderungan penghakiman mahkamah berdasarkan undang-undang kes itu.
Misalan pemakaian dalam Mahkamah di Malaysia ialah, jika Mahkamah Persekutuan memutuskan kes tertentu dan menetapkan Ratio Decidendinya, Mahkamah Rayuan dan ke bawah hendaklah mengikuti prinsip dalam keputusan mahkamah Persekutuan tersebut dengan syarat fakta material adalah sama.
Jika mahkamah Tinggi Malaya pula memutuskan kes, secara teorinya mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak tidak terikat secara undang-undang untuk mengikutinya kerana walaupun ia setaraf, ia bukan dalam hirarki yang sama. Demikian juda Mahkamah Sesyen dan kebawah dalam hirarki Mahkamah Tinggi Malaya adalah terikat untuk mengikutinya tetapi bukan Mahkamah bawahan di Sabah dan Sarawak.

Sememangnya Doktrin ini terpakai di Malaysia dan disahkan dalam kes :

PP V Datuk  Tan Cheng Swee & Anor [1980] 2 MLJ 276-277, Hakim Persekutuan, Chang Min Tat berkata:

          “….Bagaimanapun adalah perlu untuk mengesahkan sekali lagi Doktrin Stare Decisis yang jelas diterima oleh mahkamah Persekutuan dan diharapkan (expected) Mahkamah Tinggi dan Mahkamah-Mahkamah Rendah dalam suatu sistem Common Law seperti yang kita amali, turut mengikutinya.”

Apakah itu Undang-undang Prosedur…kenapa perlu dipelajari??
Cuba letakkan situasi kamu dalam keadaan seperti ini:
“ Katakan…Tuan mendapat arahan untuk menjadi Pegawai Penyiasat ataupun Pegawai Pendakwa. Persoalan yang minda mungkin berkisar tentang apakah bahan rujukan yang perlu dalam memberikan panduan menyelesaikan tugasan itu. Kemudian Tuan meminta pandangan rakan sekerja yang memberikan nasihat verbal. Tuan bertambah keliru kerana kebanyakan nasihat tadi tidak terdapat dalam Akta Perkhidmatan Bomba. Kemudian seseorang menasihati kamu dengan menyatakan bahawa Gambar Digital tidak boleh diterima di mahkamah!..Tuan terus buntu sehingga menghadiri kursus Penyediaan Kertas Siasatan ataupun berjumpa dengan mentor yang cukup pengalaman dan pengetahuannya.”
Akta Perkhidmatan Bomba memperuntukan peruntukan spesifik dalam penyiasatan seperti kuasa untuk masuk, menghendaki kehadiran saksi dan mendapatkan keterangan dari saksi. Walaupun begitu terdapat Statut Pemakaian am prosedur jenayah iaitu Kanun Tatacara Jenayah. Statut ini adalah rujukan tentang prosedur yang diikuti dalam penyiasatan Jenayah bermula dari Laporan Pertama, Penangkapan, Proses memaksa kehadiran saksi, berkenaan waran tangkap, kuasa Penyiasatan, Panduan membuat Pertuduhan, Tatacara Perbicaraan, Darihal mengambil keterangan, Penghakiman, Penghukuman, Rayuan ke Mahkamah Tinggi, Penyiasatan Kematian dan Darihal Jamin.
CPC is to set out a body of rules which must be followed in the investigation, inquiry and trial of offences under the Penal Code [Act 594] as well as offences under other Acts”
Aplikabiliti nya dijelaskan iaitu :
“CPC applies to all offences under the Penal Code. In respect of offences under other Acts, CPC will not apply if there is a special procedure prescribed under the Acts, unless the special procedure is not complete in respect of all matters. Maxim “Generalibus non specialia derogant

Case: PP v Chew Siew Luan [1982] CLJ 285

Ini bermaksud kanun ini hendaklah menjadi rujukan namun jika Peruntukan dalam APB 1988 menyatakan tentang prosedur tertentu maka prosedur itu hendaklah mengatasi KPJ tersebut.

 Adakah gambar digital boleh dikemukakan ke mahkamah? Jika boleh bagaimanakah cara mengemukakannya…..Kenali Akta Keterangan 1950.

 Ini mungkin salah satu daripada persoalan namun persoalan utama ialah bagaimanakah dan apakah bukti yang diperlukan dalam pembuktian kes Jenayah?   

Akta Keterangan 1950 (AK) merupakan satu Akta yang memperuntukkan bagaimana keterangan sepatutnya (should) dikemukakan di Mahkamah. Ianya memperuntukkan apa keterangan yang dibenarkan dan dilarang daripada dikemukakan, bagaimana cara ianya dikemukakan, penjenisan keterangan-keterangan serta siapa patut mengemukakannya.

Ringkasnnya AK menentukan kaedah perbicaraan dari segi keterangan yang dikemukakan agar sesuatu perbicaraan itu berjalan dengan teratur dan adil bagi kedua pihak i.e. pendakwa dan pembela. Oleh itu selain daripada memiliki sebuah salinan Akta berkenaan. Pengawai Pendakwa (PP) amatlah perlu memahami dan menghayatinya.

Sebagai Penutup dalam lembaran kali ini, diharap para pembaca mendapat sedikit sebanyak informasi berguna sebagai panduan dalam melaksanakan tugasan seharian. Walaupun penulisan ini agak ringkas namun sekurang-kurangnya ia dapat mengisi ruang kosong yang menjadi persoalan di minda pembaca. Bertemu lagi di ruangan akan datang membincangkan secara mendalam aspek-aspek perundangan dalam kerja seharian yang boleh dikongsi bersama pembaca. 

Sekian

No comments:

Post a Comment